- kLIk - kLIk - kLIk - kLIk -

Naluri





“Kak, boleh Eka tanya sesuatu?”

Hana menoleh kemudian tersenyum mengangguk. Menanti kata seterusnya dari bibir adik iparnya yang kelihatan tenang tapi tersembunyi kesuraman itu.

“Dulu kak kahwin, waktu itu abang masih belajar. Lepas kahwin abang belajar macam mana?”

“Semakin gigih abang kamu, sampai cemerlang tau!” Sambil tergelak Hana menjawab. Terkenang keputusan cemerlang suaminya sehingga mendapat anugerah dekan untuk semester akhir.

“Ramai yang masih berpandangan negatif, perkahwinan akan mengganggu pembelajaran.” Tutur Eka mengeluh.

“Kahwin ketika masih belajar tidak salah Eka. Perkahwinan itu rezeki, bukan bebanan.”

Eka diam. Benar kata kakak iparnya itu tapi tidak semua orang berfikir macam tu. Direnung dalam kopinya di atas meja, terbayang peristiwa-peristiwa semasa reunion sekolahnya beberapa bulan lepas. 

Hana di sisi meja menggeleng perlahan. Seperti ada kekecewaan yang sangat dalam dipendam oleh Eka.

“Akak faham, kamu tidak macam dulu lagi boleh berjuang seorang diri.”

“Maksud kak?”

“Bagi seorang wanita, peningkatan umur sering mengubah keperibadian dan emosi. Semakin meningkat usia, semakin naluri hati kita kuat untuk memerlukan seorang lelaki di sisi.”

Berkerut kening Eka.

“Kamu mahu berjuang dengan suami di sisi. Bukan begitu?”

Eka terkesima. Kemudian suram kembali menghiasi wajahnya.

Hana mengusap bahu Eka perlahan. Kasihan Eka. Umurnya mencecah akhir 30 tapi masih belum berumah tangga. Mak dan ayah menjadikan pelajaran Eka yang belum tamat sebagai penyebab Eka tidak dibenarkan berumah tangga. Kebelakangan ini Hana perasan perlakuan Eka. Perubahan demi perubahan terhadap adik iparnya itu ketara sangat. Seperti kehilangan semangat. Dia tidak seperti dahulu yang suka bercerita perihal pelajarannya dan tempat kerjanya. Lebih banyak tidur dan berdiam apabila berkumpul dalam keluarga.

“Eka. Sudahlah. Jangan fikir banyak pasal ni, buat hilang keceriaan saja dilayan.”

Eka memberi senyum kelat mengangguk. Kakinya yang longlai diatur ke pintu dapur.

“Kamu yang tentukan hidup kamu Eka. Buatlah yang terbaik untuk hidup kamu, akak dan abang sentiasa sokong kamu.” Ucap Hana mengakhiri perbualan.