- kLIk - kLIk - kLIk - kLIk -

Kawan Sekolah Menengah


Termengah-mengah aku menuruni escalator CP tu ke ground floor. Escalator tu bukannya tidak bergerak, saja aku melajukan diri dengan melangkah sendiri. Semakin turun ke bawah, semakin ku lihat kelibat Cha dan Tina di dalam restoran McD. Mereka duduk di meja tengah, memang mudah dari jauh aku dapat menangkap kelibat mereka. Paling menarik perhatianku lagi, sebuah kerusi kanak-kanak di sebelah mereka. Pasti anak Cha! Teka ku dalam hati. Ya Allah seronoknya!

Sampai saja kakiku di lantai ground floor, kulihat dari jauh Tina berpaling. Tina manis dengan penampilan 'ladies'nya'. Semakin slim dan putih si Teacher Tina ni. Tahu-tahu saja dia aku tiba di situ, dia terus melambai. Serta merta ku hadiahkan senyuman sambil turut melambai. Cha di sebelahnya tersengih. Cha masih putih melepak macam dulu, cuma agak berisi sedikit. Almaklumlah sudah jadi isteri dan mak orang kan. Aku tersenyum dalam hati. Masuk saja McD aku terus meluru mendapatkan kanak-kanak kecik yang duduk di kerusi kanak-kanak di sebelah Cha. Akibat geram yang amat sangat, aku tak sedar tingkahku yang spontan mencium anak itu dengan gelojohnya, kemudian mengakhiri dengan cubitan sebelum  aku melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi kosong di situ. 

"Nur!!"

Tina membulatkan matanya sambil menampar bahuku. Aku pun buat muka hairan. Apa halnya? Ya, Allah.. tiba-tiba juga anak perempuan Cha yang aku cubit tadi meraung-raung.

"Kuat tu kau cubit Nia tadi." Marah Tina. 

Aku menutup mulut. Aduh... Cepat-cepat aku mendapatkan Nia. Comel juga nama anak Cha ni, Nia. Bungkusan plastik berisi baju kanak-kanak perempuan terus ku hulur pada Cha. Itu sajalah hadiah aku terfikir hendak bagi buat masa ni. Mak Nia atau lebih akrab ku namakan Cha, tergelak besar. Diusap-usap pipi anak kecilnya sambil memujuk-mujuk. Aku dan Tina pun ikut memujuk. Satu restoran McD tu tersengih-sengih melihat ke meja kami disebabkan raungan Nia yang nyaring. Beberapa saat dipujuk dengan anak patung, Nia pun senyap. Nia ni mahu mak dia juga yang pujuk baru diam. Harapkan aku dengan Tina manalah berkesan. Lagi-lagi belum jadi mak budak. Tergelak aku dalam hati. Mengeluh pun ada.

Aku kembali ke tempat dudukku selepas mengambil order. Happy Meal! Ya itu menu makan tengahariku sampai Tina ketawakan aku yang menyantap hidangan kanak-kanak itu. Macam budak-budak katanya. Tak kesahlah, janji aku suka burger tu dan dapat free gift patung "Alex" (watak Madagascar). Aku bagi patung tu pada Nia. Lucu. Terkekekeke Nia ketawa tengok patung Alex boleh bergerak-gerak. Comel sungguh anak Cha. Lama ku renung anak berusia 11 bulan itu. Jauh sekali mirip maknya.

"Itulahkan, Nia ni muka bapanya kan.." Tina menjawab saat aku ajukan pendapatku. Cha ketawa saja.

"Aku lupa macam mana muka bapa Nia ni Cha." Tuturku lagi. Tina membuntang pandang aku. Sungguh, aku lupa wajah suami Cha. Kali terakhir aku jumpa pun waktu majlis persandingan mereka dua tahun lepas.

Tina menampar bahuku lagi sambil ketawa. Tina ni masih macam dulu bab tampar-tampar bahu orang ni memang 'stail' dia. Bab cubit-cubit pula 'stail' Sue. Rindu juga pada Sue. Sayang Sue tidak ada disaat kami berkumpul lagi kali ni. 

Seketika Cha menghulurkan handphonenya padaku. Gambar suami Cha bersama Nia terpampang di skrin. Barulah mindaku mengimbas kembali wajah suami Cha yang juga putih melepak macam dia. Betullah rupa Nia acuan ayahnya, manis. Cha tergelak lagi bila mengatakan Nia langsung tak ada rupa dia. Aku dan Tina ikut sama ketawa. Ketawa masing-masing pun macam dulu juga. Cha dengan ketawa kuatnya. Tina ketawa kuat tapi sikit-sikit. Aku pula ketawa "cover-cover" pakai tangan. Kontrol konon kan. Lama juga tidak ketawa dengan mereka macam dulu-dulu. 

Tidak banyak yang kami cerita hari tu. Ada pun soalan-soalan perkembangan masing-masing. Sesekali bertanya tentang rakan lama dan mengimbas kisah-kisah lama di sekolah dulu. Kisah di asrama, kisah menempuh STPM, tragedi-tragedi di Makmal Bio..macam-macam..

Ada yang mencuit hati ada juga yang menghadirkan rasa sebak. Kenangan.. ya semuanya kenangan. Cha, Sue, Tina dan aku sudah macam adik beradik. Selepas kisah keluarga ku beberapa tahun dulu, aku semakin menjauhkan diri dari mereka. Sue yang banyak tahu ceritaku sebab dulu rumahnya selang beberapa rumah saja dari rumahku sebelum dia pindah ke KL. Tabah dan sabar saja nasihat mereka. Semua masalah berlalu  dengan cepat. Akhirnya masing-masing punya kehidupan sendiri untuk ditelusuri. Tapi aku terharu juga, hari lahirku dua tahun lepas Tina dan Cha buat kejutan. Setelah lama tidak berjumpa, mereka datang ke ofis aku waktu lunch semata-mata mahu sambut hari lahirku. Sungguh air mata pun tidak dapat gambarkan rasa hati waktu itu. Terima kasih untuk kasih sayang mereka yang tidak pernah putus walau pun senyap sesama sendiri sekian lama. Selepas perjumpaan di hari lahir ku itu, kami masing-masing senyap lagi. Aku dengan Tina jenis yang tidak suka berfacebook. Sue dengan Cha saja yang masih berhubung.

Kini masing-masing punya ruang hidup sendiri. Dua dari pada kami sudah pun bergelar isteri dan ibu. Tak sangka lawak jenaka yang kami reka waktu di bangku sekolah dulu seperti menjadi saja. Cha akan kahwin dulu, diikuti oleh Sue, Tina dan akhir sekali aku. Rekaan ini berdasarkan bulan kelahiran, siapa lahir dulu.  Memang betullah Cha kahwin dulu kemudian Sue. Dengar cerita daripada Cha, Sue sekarang dalam pantang. Dia bersalin anak pertama bulan Februari lepas. Syukurlah rezeki bunting pelamin. Kini Tina pun katanya mahu tamatkan zaman bujang hujung tahun ni, cuma calon masih samar-samar. Inilah masalahnya kalau ramai pilihan kan. Masalah hendak pilih mana satu. Aku ni pun masalah besar juga. Sedangkan berpasangan pun aku sudah fobia, apatah lagi alam perkahwinan. Takut aku dibuatnya. Jodoh kuserahkan pada Allah. 

Kelmarin hari yang betul-betul membahagiakan. Pertemuan semula dengan Cha dan Tina. Seronok jalan-jalan walaupun setakat pusing-pusing masuk kedai keluar kedai. Berjalan-jalan saja tak penat, tapi yang penatnya tu mendukung si kecil Nia. Bergilir-gilir aku dengan Tina dukung. Cha pula tergelak-gelak. kata padan muka. Lastly dia juga dukung balik. Sempat kami pergi karaoke. Nia yang kecil tu turut 'melalak' dalam bilik karoke tu. Tak banyak lagu kami sempat nyanyi sebab pampers Nia penuh. Habis basah seluar dia. Maka perjumpaan kami dengan Cha berakhir di tempat letak kereta. Cha tukar pampers Nia di situ juga. Sempat juga dia sindir aku dengan Tina, "Mahu anak, buatlah sendiri!" Aku tersengih-sengih saja dengan Tina, dalam hati semestinya kami ketawa besar.

Kami hantar Cha sampai di situ saja. InsyaAllah Cha cuti lagi boleh jumpa. Cha pun sudah pindah ke Imegresen airport, lagi mudah hendak jumpa. Aku dan Tina tak terus berpisah di situ. Aku habiskan masa dengan Tina mencari kain untuk baju rayanya. Pertemuan hari itu akhirnya ditamatkan di gerai mak Tina. Entah bila lagi dapat berjumpa. Tina tu cikgu di luar kawasan KK, bukan selalu dapat cuti panjang balik K.K. Tapi kami sudah berjanji.. insyaAllah kalau Sua balik Sabah dan Tina dapat cuti, berjumpa lagi kami. Semoga.

Daun selasih buah bidara
Kayu manis bercabang tiga
Kasih teman bagai saudara
Sampai ke hayat dikenang juga




Main Layang-Layang

Jemari runcing itu menyisir ke belakang rambutnya yang jatuh menutupi sebahagian wajah kecilnya. Pandanganya tertumpu pada kedamaian pantai Tanjung Rindu, yang sedikit terhalang dek gangguan angin pantai yang semakin bertiup kencang. Sudah sejam Indah duduk di atas batang pokok ara tumbang di tepian itu. Sengaja menyendiri sambil menunggu sesuatu yang dia sendiri masih berkira-kira apakah yang harus ditunggunya.

Sesekali terdengar jeritan kanak-kanak lain yang seronok dengan permainan masing-masing. Ada yang berlari-lari di gigi air dan ada juga yang bermain pasir membina blok-blok rumah. Ada yang bermain buaian di bawa pokok ruh yang rendang. Hairan, semuanya berpasangan.

Indah sahaja bersendiri.

Matanya yang bundar dialih ke dada langit. Pada sesuatu yang menarik perhatiannya. Helaian biru berjalur kuning sedang menari-nari menerjah awan. Matanya menjeling pada sepasang kanak-kanak yang keriangan yang menarik-narik tali helaian benda biru yang terbang semakin tinggi mengikut hala angin pantai itu. Si kanak-kanak lelaki yang berkaca mata memberikan gegelung tali yang mengikat benda biru itu kepada si gadis di sisinya yang terlonjak kecil sudah tidak sabar. Si anak gadis pun tersenyum manis serta merta gegelung itu sampai di tapak tangannya. Si kanak-kanak lelaki itu mengajarnya mengawal tali. Dua-dua menikmati permainan mereka. Semakin tinggi semakin mereka bersorak riang.

Berkerut kening Indah. Kemudian satu keluhan kecil dilepaskan.

"Layang-layang.."   tiba-tiba satu suara asing memecah suasananya.

Dia serta merta menoleh ke tepi. Seorang budak lelaki berdiri di sebelahnya. Berbaju putih terlukis gambar kartun power rangers, berseluar pendek hitam sedikit kebasahan di bawahnya dan bersadur pasir. Kakinya berselipar jepun lain sebelah. Mukanya comot terpalit dengan tanah pantai. Di tangannya pula ada sebuah layang-layang. Bila dialihkan matanya pada wajahnya, dia mengukir senyum. Indah membalas senyumnya sambil tersengih. Comot tapi manis.

"Kau tahu main layang-layang?" Soal budak lelaki itu tiba sambil mata tidak berganjak pada langit, pada benda biru berjalur kuning yang semakin tinggi terbangnya. Indah diam seketika sebelum menjawab.

"Pernah."

"Kiranya kau tahu mainlah?"

"Tahu sikit-sikit tapi tidak pandai."

Remaja lelaki itu tersenyum lagi sambil menatap seketika muka Indah yang tiba-tiba hilang tiada riak. Kosong. Rambutnya saja yang berubah-ubah kedudukan ditiup bayu pantai.

Budak lelaki berbaju putih itu perlahan melangkah mara ke tepian pantai. Kepalanya mendongak sambil sebelah tangannya ke dahi, menghalang silau sang matahari. Mata Indah mengekor pergerakannya sambil memerhati layang-layang hijau di tangan kirinya.

"Seronokkan main layang-layang?" soalnya lagi sambil menoleh ke arah Indah. Indah mengangguk.

"Sudah lama tidak main." Balas Indah.

"Masih dapat rasa keseronokkannya.." Sambung budak lelaki itu. Indah diam. Budak lelaki itu turut membisu. Ombak yang memercik ke kelikir pantai saja yang bersuara. Lama suasana jadi jeda.

"Kau mahu main?" tiba-tiba budak lelaki itu bertanya lagi.

"Mahu! Tapi...

.. aku takut."

"Takut?"

"Sebab aku tidak pandai main. Aku takut terputus tali dan nanti aku menangis berhari-hari." Balas Indah sambil mengusap sikunya.

"Luka apa tu?" tanya budak lelaki itu merujuk pada siku Indah.

"Luka lama sebab main layang-layanglah."

"Jatuh?"

Indah mengangguk.

"Tali layang-layangku putus, layang-layangku hilang. Waktu tu aku tersandung batu dan tersembam ke bumi."  Indah cuba menahan sebaknya. Namun jelas kedengaran dalam nada suaranya yang bergetar.

Budak lelaki itu pun ketawa. Indah serta merta menarik muka. Dimasamkan riak wajahnya. Budak lelaki itu semakin ketawa. Tapi tidak lama. Bila merenung wajah Indah yang masih murung dia juga hilang senyum tiba-tiba. Dia mendekati Indah semula dan mengambil tempat duduk di sisinya. Pandangannya jauh ke infiniti lautan. Seperti ada sesuatu yang dikenang.

"Itu layang-layang kamu, pergilah main." Soal Indah mematikan lamunannya.

"Tak boleh main sendiri. Mesti ada kawan. Siapa mahu tolong aku pegang layang-layang ni untuk dinaikkan?"

"Mana kawan kau?"

"Macam kau, aku di sini tiada kawan."

"Carilah kawan baru."

"Kaulah!"

Indah tersentak. Disugulkan muka.

"Mari.." Perlahan juga budak lelaki itu bangkit dan menghadap Indah. Tangannya di hulurkan.

"Jangan pernah takut untuk mencuba lagi.." ucapnya cuba menyakinkan.

Indah kaku walaupun matanya bersinar.







satira hati.
by -ct-
August 2011, Petagas