- kLIk - kLIk - kLIk - kLIk -

Main Layang-Layang

Jemari runcing itu menyisir ke belakang rambutnya yang jatuh menutupi sebahagian wajah kecilnya. Pandanganya tertumpu pada kedamaian pantai Tanjung Rindu, yang sedikit terhalang dek gangguan angin pantai yang semakin bertiup kencang. Sudah sejam Indah duduk di atas batang pokok ara tumbang di tepian itu. Sengaja menyendiri sambil menunggu sesuatu yang dia sendiri masih berkira-kira apakah yang harus ditunggunya.

Sesekali terdengar jeritan kanak-kanak lain yang seronok dengan permainan masing-masing. Ada yang berlari-lari di gigi air dan ada juga yang bermain pasir membina blok-blok rumah. Ada yang bermain buaian di bawa pokok ruh yang rendang. Hairan, semuanya berpasangan.

Indah sahaja bersendiri.

Matanya yang bundar dialih ke dada langit. Pada sesuatu yang menarik perhatiannya. Helaian biru berjalur kuning sedang menari-nari menerjah awan. Matanya menjeling pada sepasang kanak-kanak yang keriangan yang menarik-narik tali helaian benda biru yang terbang semakin tinggi mengikut hala angin pantai itu. Si kanak-kanak lelaki yang berkaca mata memberikan gegelung tali yang mengikat benda biru itu kepada si gadis di sisinya yang terlonjak kecil sudah tidak sabar. Si anak gadis pun tersenyum manis serta merta gegelung itu sampai di tapak tangannya. Si kanak-kanak lelaki itu mengajarnya mengawal tali. Dua-dua menikmati permainan mereka. Semakin tinggi semakin mereka bersorak riang.

Berkerut kening Indah. Kemudian satu keluhan kecil dilepaskan.

"Layang-layang.."   tiba-tiba satu suara asing memecah suasananya.

Dia serta merta menoleh ke tepi. Seorang budak lelaki berdiri di sebelahnya. Berbaju putih terlukis gambar kartun power rangers, berseluar pendek hitam sedikit kebasahan di bawahnya dan bersadur pasir. Kakinya berselipar jepun lain sebelah. Mukanya comot terpalit dengan tanah pantai. Di tangannya pula ada sebuah layang-layang. Bila dialihkan matanya pada wajahnya, dia mengukir senyum. Indah membalas senyumnya sambil tersengih. Comot tapi manis.

"Kau tahu main layang-layang?" Soal budak lelaki itu tiba sambil mata tidak berganjak pada langit, pada benda biru berjalur kuning yang semakin tinggi terbangnya. Indah diam seketika sebelum menjawab.

"Pernah."

"Kiranya kau tahu mainlah?"

"Tahu sikit-sikit tapi tidak pandai."

Remaja lelaki itu tersenyum lagi sambil menatap seketika muka Indah yang tiba-tiba hilang tiada riak. Kosong. Rambutnya saja yang berubah-ubah kedudukan ditiup bayu pantai.

Budak lelaki berbaju putih itu perlahan melangkah mara ke tepian pantai. Kepalanya mendongak sambil sebelah tangannya ke dahi, menghalang silau sang matahari. Mata Indah mengekor pergerakannya sambil memerhati layang-layang hijau di tangan kirinya.

"Seronokkan main layang-layang?" soalnya lagi sambil menoleh ke arah Indah. Indah mengangguk.

"Sudah lama tidak main." Balas Indah.

"Masih dapat rasa keseronokkannya.." Sambung budak lelaki itu. Indah diam. Budak lelaki itu turut membisu. Ombak yang memercik ke kelikir pantai saja yang bersuara. Lama suasana jadi jeda.

"Kau mahu main?" tiba-tiba budak lelaki itu bertanya lagi.

"Mahu! Tapi...

.. aku takut."

"Takut?"

"Sebab aku tidak pandai main. Aku takut terputus tali dan nanti aku menangis berhari-hari." Balas Indah sambil mengusap sikunya.

"Luka apa tu?" tanya budak lelaki itu merujuk pada siku Indah.

"Luka lama sebab main layang-layanglah."

"Jatuh?"

Indah mengangguk.

"Tali layang-layangku putus, layang-layangku hilang. Waktu tu aku tersandung batu dan tersembam ke bumi."  Indah cuba menahan sebaknya. Namun jelas kedengaran dalam nada suaranya yang bergetar.

Budak lelaki itu pun ketawa. Indah serta merta menarik muka. Dimasamkan riak wajahnya. Budak lelaki itu semakin ketawa. Tapi tidak lama. Bila merenung wajah Indah yang masih murung dia juga hilang senyum tiba-tiba. Dia mendekati Indah semula dan mengambil tempat duduk di sisinya. Pandangannya jauh ke infiniti lautan. Seperti ada sesuatu yang dikenang.

"Itu layang-layang kamu, pergilah main." Soal Indah mematikan lamunannya.

"Tak boleh main sendiri. Mesti ada kawan. Siapa mahu tolong aku pegang layang-layang ni untuk dinaikkan?"

"Mana kawan kau?"

"Macam kau, aku di sini tiada kawan."

"Carilah kawan baru."

"Kaulah!"

Indah tersentak. Disugulkan muka.

"Mari.." Perlahan juga budak lelaki itu bangkit dan menghadap Indah. Tangannya di hulurkan.

"Jangan pernah takut untuk mencuba lagi.." ucapnya cuba menyakinkan.

Indah kaku walaupun matanya bersinar.







satira hati.
by -ct-
August 2011, Petagas

2 comments: